Tindakan rasuah jejas imej PDRM tegas Ayob Khan

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam rasuah menjejaskan serta mencemarkan imej pasukan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa jenayah rasuah perlu ditangani secara tegas tanpa mengira pangkat.

Beliau berkata sepanjang memegang jawatan penting dalam PDRM, beliau tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit rasuah.

“Semasa saya menjawat jawatan Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah SOSMA,” katanya.

Di JSJN pula, pegawai berpangkat tinggi turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Presiden PEMUISI Datuk Dr Radzuan Ibrahim turut hadir.

Ayob Khan menegaskan menyembunyikan kes rasuah hanya akan memburukkan lagi gejala tersebut.

“Bagi PDRM, tiada kompromi. Jika saya kesan, pilihan pertama ialah serahkan kes kepada SPRM,” jelasnya.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa sukar membanteras rasuah dalam PDRM.

“PDRM kekal tegas untuk tidak berkompromi dengan salah laku integriti,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *