KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, memfailkan notis kebankrapan terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff selepas gagal membayar ganti rugi RM400,000 berhubung kes fitnah lapan tahun lepas.
Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili Hannah, berkata notis itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Julai lepas dengan Kamarul Zaman dinamakan sebagai penghutang.
“Kamarul Zaman gagal membayar ganti rugi RM400,000 dan kos RM80,000 seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 30 Mei lalu. Oleh itu, kami memulakan prosiding kebankrapan terhadapnya.
“Kami tidak dapat menyerahkan notis berkenaan secara peribadi, lalu memperoleh perintah mahkamah pada 29 Julai untuk penyampaian melalui iklan akhbar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sangeet berkata Kamarul Zaman memfailkan permohonan menggantung keputusan mahkamah itu pada Julai lepas susulan rayuannya di Mahkamah Rayuan.
“Belum ada perintah penggantungan keputusan mahkamah itu sehingga tarikh pendengaran pada 28 Ogos ini. Oleh itu plaintif (Hannah) berhak untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah pada 30 Mei lepas,” kata peguam itu.
Pada 30 Mei lepas, Hakim Datuk Aliza Sulaiman membenarkan tuntutan saman fitnah Hannah selepas menolak hujahan defendan (Kamarul Zaman) bahawa beliau tidak mempunyai locus standi.
Saman fitnah yang difailkan pada 2022 itu tercetus daripada dua hantaran Facebook oleh Kamarul Zaman antara 10 dan 17 Mei 2017, yang mendakwa Hannah mempunyai agenda memurtadkan dan menggunakan platform politiknya untuk mempromosikan agama Kristian.
Kamarul Zaman juga merujuk kepada autobiografi Hannah bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey” sebagai bukti kepada agenda berkenaan, serta mendakwa Hannah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Dalam penyataan pembelaan, Kamarul Zaman menafikan hantaran tersebut sebagai fitnah dan menegaskan kenyataannya adalah berasas – BERNAMA