Polis siasat insiden perlanggaran dua kenderaan di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Polis menerima dua laporan berhubung insiden perlanggaran membabitkan dua kenderaan di Jalan Sekerat.

Kejadian itu melibatkan kereta jenis Toyota Corolla dan Nissan Grand Livina yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kira-kira pukul 8.30 malam, tular satu video yang memaparkan kereta Nissan Grand Livina dilanggar Toyota Corolla,“ katanya.

Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari semalam, pemandu Nissan mendakwa keretanya dilanggar lari oleh pemandu Toyota.

Pemandu Nissan kemudian mengekori kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Sekerat.

Selepas bergerak kira-kira satu kilometer, pemandu Toyota menyedari dia diekori.

Dia kemudian memusingkan keretanya dan melanggar sisi kanan kereta Nissan.

“Pemandu Toyota juga keluar dari keretanya dan mencabar serta memaki hamun pemandu Nissan,“ kata Hanyan.

Dua laporan diterima polis malam tadi, satu daripada pemandu Nissan dan satu lagi daripada ibu pemandu Toyota.

Motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *