33 maut akibat hujan badai di Kashmir, ratusan cedera

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 33 orang maut dan ramai lagi dilaporkan hilang selepas hujan badai melanda kawasan Kishtwar di Jammu dan Kashmir.

Ketua Menteri wilayah itu, Omar Abdullah, mengesahkan tragedi itu melalui hantaran di platform media sosial X.

Bencana berlaku di kampung terpencil Chositi, berhampiran kuil Hindu Machail Mata.

Laporan tempatan menyatakan lebih 220 orang hilang dengan angka kematian awal dianggarkan 33 orang.

Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran mencapai lokasi akibat jalan yang hanyut dan cuaca buruk.

Menteri Persekutuan Jitendra Singh berkata keadaan cuaca tidak sesuai untuk operasi helikopter penyelamat.

Beliau memberi amaran bencana itu berpotensi mengakibatkan jumlah korban yang lebih besar.

Farooq Abdullah, ahli politik veteran, mendedahkan 400 orang cedera dengan sebahagian mengalami patah tulang.

Beliau menyeru penggunaan helikopter tentera untuk memindahkan mangsa yang teruk cedera.

Menurut laporan media India, lebih 1,000 orang berada di lokasi kejadian ketika awan badai melanda.

Perdana Menteri India Narendra Modi memaklumkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Beliau menegaskan segala bantuan akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *