Rayuan pendakwaan kes bunuh bekas CEO Cradle Fund didengar 10 Nov

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hingga 12 November ini untuk mendengar rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja yang dituduh membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman mengesahkan tarikh perbicaraan itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Pada Februari 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka pada Jun 2022.

Samirah, balu Nazrin, bersama dua remaja berusia 22 dan 19 tahun serta seorang wanita Indonesia, Eka Wahyu Lestari, didakwa terlibat dalam kematian Nazrin di kediamannya pada 2018.

Mahkamah Rayuan berpendapat tiada bukti kukuh menunjukkan kebakaran yang menyebabkan kematian Nazrin adalah disengajakan.

Pihak Jabatan Kimia dan Bomba juga memberikan keterangan yang bercanggah dalam siasatan kes ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *