SHAH ALAM: Polis telah memperketat kawalan keselamatan terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarganya berikutan serangan ke atas anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar enggan mendedahkan butiran lanjut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Ada, tetapi saya tidak boleh dedahkan nanti orang akan tahu sekuriti itu buat apa. Kawalan akan dilakukan pihak polis,“ katanya dalam sidang media hari ini.
Enam individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes yang melibatkan Rafizi, isteri, dan anaknya serta individu lain yang berkaitan.
Shazeli menegaskan motif serangan itu belum dapat dipastikan memandangkan siasatan masih di peringkat awal.
“Alhamdulillah, siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan,“ jelasnya.
CCTV bukan sahaja di premis pusat beli-belah malah di kawasan luar turut diteliti oleh pihak berkuasa.
Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran atau provokasi tanpa kawalan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 324, dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Rafizi dalam kenyataan semalam mengesahkan anaknya diserang oleh dua lelaki berpakaian hitam dan menaiki motosikal.
Mangsa dilaporkan ditarik secara tiba-tiba dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh suspek. – Bernama