KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing disyaki memandu secara cuai sebelum menyerang orang awam dengan pisau di Bandar Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati wanita itu tiada rekod kemurungan atau pengambilan ubat.
“Namun begitu, dia dilihat dalam keadaan tertekan dengan isu dan permasalahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita itu dipercayai kecewa dengan layanan semasa belajar dan kehidupan di Malaysia.
Wanita berusia 24 tahun itu direman tujuh hari sehingga 20 Ogos bagi siasatan lanjut.
Sebelas saksi telah diambil keterangan termasuk mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Dua mangsa masih ditahan di wad dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kejadian berlaku pada 11.58 pagi semalam di persimpangan jalan berhampiran pusat beli-belah di Bandar Kajang.
Wanita itu ditahan bersama dua bilah pisau oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
Enam individu cedera manakala tiga motosikal rosak akibat dilanggar kenderaan wanita terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 kanun sama.
Kejadian itu turut tular di media sosial. – Bernama