Wanita China cederakan pegawai imigresen KLIA ditahan

PUTRAJAYA: Seorang wanita warga China ditahan kerana mencederakan pegawai imigresen semasa pemeriksaan perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam semasa wanita itu bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan imigresen.

Pegawai bertugas mendapati mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk lalu merujuk kes kepada penyelia untuk semakan lanjut.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), suspek bertindak agresif apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain.

Dia dilaporkan memaki hamun pegawai, menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya ke arah tiang di kaunter.

Pergelutan kecil berlaku sebelum Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dipanggil untuk mengawal keadaan.

Pegawai terbabit mengalami bengkak pada mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan lalu dirujuk ke Hospital Cyberjaya.

Suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan.

AKPS menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan atau ancaman terhadap pegawai yang bertugas.

Mereka berharap tindakan tegas akan diambil terhadap suspek mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *