KUALA LUMPUR: Pasukan Bahagian Gynae-Onkologi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) Terengganu berjaya melaksanakan pembedahan “Total Laparoscopic Hysterectomy with Bilateral Salpingo-Oophorectomy” buat pertama kali.
Pembedahan ini dilakukan ke atas pesakit yang didiagnosis dengan koriokarsinoma, sejenis kanser yang jarang berlaku.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuji kejayaan ini sebagai bukti kemampuan hospital awam Malaysia dalam rawatan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, “Dengan teknik pembedahan invasif minimum, pesakit kini berpeluang pulih lebih cepat, kurang risiko komplikasi, dan kembali kepada kehidupan normal dengan kualiti hidup yang lebih baik walaupun untuk kes kanser yang kompleks dan mencabar.”
Pembedahan ini diketuai oleh Pakar Gynae-Onkologi Dr Alik Riasadesa Zakaria bersama Ketua Jabatan O&G Dr Ramli Ibrahim.
Pasukan perubatan turut disokong oleh jururawat dan Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Intensif.
Kejayaan ini menunjukkan hospital awam negara mampu menyediakan rawatan bertaraf dunia melalui pakar yang berkemahiran tinggi.
Dr Dzulkefly turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan HoSZA dengan berkata, “Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan HoSZA! Anda semua sumber inspirasi negara.”
Koriokarsinoma ialah kanser yang terjadi akibat pertumbuhan abnormal sel plasenta dalam rahim.
Keadaan ini boleh berlaku selepas keguguran atau pengguguran kehamilan.
Pencapaian ini membuka lembaran baru dalam rawatan kanser kompleks di Malaysia. – Bernama