Pegawai tentera dalang seludup dadah ditahan dalam Op Sohor

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera ditahan dalam Operasi Sohor kerana disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan dadah di selatan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan penahanan itu dibuat hasil kerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia.

Serbuan itu turut menemui sejumlah besar dadah yang dirampas daripada suspek terbabit.

Azam berkata pegawai terbabit bukan sahaja membocorkan maklumat penting malah terlibat secara langsung dalam kegiatan penyeludupan.

“Sebelum serbuan, kami sudah mempunyai maklumat mengenai penglibatan mereka dalam kes dadah,“ katanya dalam Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025.

Beliau menambah sebahagian dadah mungkin untuk kegunaan sendiri tetapi jumlah yang dirampas terlalu besar.

Media sebelum ini melaporkan 10 individu termasuk tiga pegawai tentera dan seorang warga Indonesia ditahan dalam operasi sama.

Rampasan termasuk wang tunai RM63,000, pelbagai jenis dadah, minuman keras dan senjata tiruan.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan empat individu ditahan atas syak penyeludupan dadah.

Mereka terdiri daripada seorang pegawai tentera, seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga asing.

Antara dadah dirampas ialah 1.1kg MDMA, 92g kanabis, 22g ketamin dan 64g cecair MDMA bernilai RM30,000.

Operasi ini hasil risikan selama setahun oleh Bahagian Perisikan SPRM dan Pasukan ACTS. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *