PUTRAJAYA: Seramai 229 pelawat asing dari pelbagai negara tidak dibenarkan memasuki Malaysia selepas dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
AKPS melaporkan kesemua pelawat tersebut gagal memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan semasa operasi bersepadu dijalankan dari jam 7.30 pagi semalam hingga 7.30 pagi tadi di kedua-dua terminal KLIA.
“Sebanyak 764 pelawat telah diperiksa dalam operasi ini dengan warganegara Bangladesh mencatat bilangan penolakan tertinggi iaitu 204 orang,” menurut kenyataan rasmi AKPS.
Negara lain yang turut direkodkan penolakan masuk termasuk India (14 orang), Sri Lanka, Pakistan dan Indonesia (masing-masing tiga orang) serta Kemboja (dua orang).
AKPS menjelaskan antara sebab utama penolakan termasuk pengemukaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket penerbangan pulang dan kegagalan membuktikan kemampuan kewangan yang mencukupi.
“Kesemua individu ini dipercayai mempunyai niat untuk menyalahgunakan kemudahan kemasukan bagi tujuan tinggal dan bekerja secara haram di Malaysia,” jelas AKPS.
Dalam perkembangan berkaitan, AKPS turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an yang cuba memasuki semula Malaysia hanya enam hari selepas diusir keluar pada 7 Ogos lalu atas kesalahan sama.
Individu tersebut telah dihantar pulang serta-merta dengan amaran keras dikenakan terhadapnya. – Bernama