Kanak-kanak tujuh tahun lemas selepas dikejar lembu liar di Machang

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas selepas dipercayai dikejar sekumpulan lembu liar sebelum terjatuh ke dalam Sungai Kaabah di Kampung Kelaweh, Machang petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Osman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 4.22 petang.

“Mangsa seorang budak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai lemas di sungai tersebut dan anggota pasukan telah membuat pencarian di sekitar kawasan yang dinyatakan,“ katanya.

Mangsa dijumpai pada 5.07 petang, kira-kira 0.5 meter dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Muhamad berkata mangsa, anak kedua daripada empat beradik, sedang bermain lastik bersama tiga rakan sebelum dikejar lembu liar dan terjatuh ke dalam sungai yang terletak 500 meter dari rumahnya.

Tiga rakan kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada semak di tebing sungai manakala mangsa hanyut ke dalam sungai.

Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *