KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.15 bilion untuk dilaksanakan di Kelantan, merangkumi 17 projek bagi mengurangkan kejadian banjir dan memulihara pantai.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata ini termasuk pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai benteng pertahanan rakyat dan pelindung harta benda.
“RTB ini bukan sahaja mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama semua pihak, malah ia juga membuktikan keupayaan kita untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam ucapan di Majlis Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS 2025.
Mohd Nassuruddin menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada PETRA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas peruntukan tersebut.
Beliau turut memohon JPS memperbaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir besar sebelum ini secara menyeluruh dan berperingkat.
“Usaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana akan diperkasakan melalui pelan struktur perparitan dan saliran di kawasan terlibat,” jelasnya.
Beliau berharap Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA) di bandar utama dapat mengurangkan risiko banjir kilat dan memastikan sistem saliran lebih tahan lama.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. – Bernama