KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan ekonomi abad ke-21, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti pelancaran terbaru ChatGPT 5.0 menguatkan kebimbangan bahawa AI berpotensi menggantikan tenaga kerja yang dilatih secara konvensional.
“Dalam era apabila AI mampu berfikir, dunia masih memerlukan individu yang boleh membina, membaiki, mengendalikan, berkomunikasi, menyelia dan mengurus,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan TVET ASEAN 2025.
Sim mencadangkan tiga langkah strategik iaitu perkongsian pengalaman latihan, pensijilan bersama dan peningkatan pelaburan dalam pendidikan kemahiran serantau.
Malaysia memperuntukkan RM10 bilion setahun bagi TVET dengan menawarkan lebih 72,000 kursus percuma bernilai RM400 juta kepada 3.5 juta peserta termasuk dari ASEAN.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyeru sistem TVET menjadi pemangkin inovasi digital dan hijau melalui kerjasama erat antara institusi latihan dengan industri.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menegaskan tiada pihak boleh dipinggirkan dalam mendapatkan peluang latihan seiring perkembangan ekonomi serantau.
Persidangan dua hari ini menghimpunkan 1,500 perwakilan bagi membincangkan transformasi TVET sebagai pemacu ekonomi digital dan hijau yang inklusif di ASEAN. – Bernama