KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menghantar notis pemberitahuan kepada pemilik jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi menyegerakan kerja perobohan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata objektif utama langkah itu diambil bagi memastikan aktiviti yang bersifat penyeludupan, khususnya dadah dapat ditangani.
“Kita menyokong sepenuhnya langkah polis untuk meroboh jeti haram sepanjang Sungai Golok ini kerana ia langkah wajar bagi membersihkan sempadan daripada kegiatan penyeludupan,“ katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemilik jeti tidak akan menerima sebarang pampasan kerana pembinaan dilakukan secara haram.
Mohamed Fadzli berkata tindakan itu terpaksa diambil memandangkan terdapat bukti yang menunjukkan aktiviti penyeludupan dilakukan melalui jeti haram.
“Memang kita difahamkan dadah masuk ke Malaysia melalui Kelantan dan sebagai ‘front liner’ kita yang paling terkesan, anak muda kitalah orang pertama yang dapat bekalan itu,“ jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menyatakan 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bakal dirobohkan oleh PBT selepas mendapat kebenaran kerajaan negeri.
Tindakan tersebut bertujuan memperkukuh kawalan sempadan dan mengekang jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand. – Bernama