AGC putuskan inkues kematian Zara Qairina di Putrajaya

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk mengadakan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir.

Keputusan ini dibuat selepas AGC meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kes tersebut pada 12 Ogos lalu.

Menurut AGC, inkues ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian pelajar tingkatan satu itu.

Proses inkues akan dijalankan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.

Keputusan ini selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Sebelum ini, AGC memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina perlu digali semula untuk bedah siasat.

Jenazahnya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sabah, telah digali semula pada 9 Ogos lalu.

Mayat tersebut dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat sebelum dikebumikan semula pada awal pagi Isnin.

Zara Qairina meninggal dunia di hospital sama pada 17 Julai lepas.

Dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *