KUALA LUMPUR: Perang mulut yang mencetuskan kekecohan antara beberapa ahli parlimen telah menimbulkan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam dewan yang mulia.
“Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful,” katanya dengan nada tegas.
Kejadian itu berlaku selepas pertelingkahan antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang berikutan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13.
Chong Zemin (PH-Kampar) bangkit menggunakan Peraturan 36(1) untuk menyatakan bahawa Presiden PAS tidak menyentuh langsung mengenai RMK13 dalam perbahasannya.
Kekecohan berlarutan selama tujuh minit dengan melibatkan beberapa ahli parlimen termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan RSN Rayer (Jelutong).
Johari kemudian masuk ke dewan dan menegur sikap ahli parlimen yang bertikam lidah serta menggunakan bahasa kurang sopan.
“Budak-budak sekolah ada depan, saya dengar dari chamber, (Ahli Parlimen) maki, guna perkataan-perkataan tak elok, semua tak elok,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik untuk kemajuan negara.
Mesyuarat kemudian diteruskan dengan perbahasan Young Syefura Othman (PH-Bentong) tanpa sebarang gangguan. – Bernama