BATU PAHAT: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan polis kerana disyaki menyerang seorang guru kelas memandu di Taman Mutiara, Parit Sulong.
Kejadian itu berlaku pada 1.20 tengah hari semalam akibat rasa tidak puas hati antara kedua-dua pihak.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata suspek ditahan di Parit Raja selepas menerima laporan mangsa berusia 56 tahun.
Mangsa melaporkan kejadian itu pada pukul 7.24 malam semalam.
Siasatan mendapati suspek menunggang motosikal dan menahan kereta dipandu mangsa sebelum menumbuk cermin hadapan sehingga retak.
Mangsa kemudian meneruskan perjalanan ke Balai Polis Parit Sulong sambil diekori suspek.
Suspek dikatakan melepaskan tumbukan ketika mangsa turun dari kenderaan sebelum melarikan diri.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan kes disiasat bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular di Facebook video berdurasi 1 minit 47 saat memaparkan insiden tersebut.
Video itu menunjukkan penunggang motosikal mengekori kereta dan menendang cermin.
Turut dipaparkan keadaan mangsa yang berlumuran darah di bahagian kepala dipercayai akibat ditumbuk suspek. – Bernama