KUALA LUMPUR: Pembayaran hutang, termasuk pembiayaan pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), adalah kewajipan yang dituntut dalam Islam dan tidak wajar dipandang ringan.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pendakwah selebriti Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata tanggungjawab membayar hutang bukan hanya berkaitan dengan perjanjian undang-undang tetapi juga soal amanah dan integriti peribadi.
“Memang Islam mewajibkan kita untuk menyelesaikan hutang dan mencari jalan penyelesaian. Apa yang haram bukanlah berhutang untuk tujuan baik seperti menuntut ilmu, tetapi sikap sengaja tidak mahu membayar dan mengabaikan tanggungjawab itu.
“Ada yang buat-buat lupa, atau menganggap hutang itu bukan urusan dia lagi selepas tamat belajar, walhal mereka telah menandatangani perjanjian untuk membayar balik,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata setiap pinjaman PTPTN adalah dana yang sepatutnya menjadi pusingan kepada generasi pelajar seterusnya justeru, membuat bayaran balik pinjaman bukan hanya tanggungjawab individu kepada institusi tetapi juga kepada masyarakat dan negara.
“Kerajaan dan PTPTN telah bantu kita menyambung pelajaran. Kini tiba masanya kita bantu pula anak-anak Malaysia yang akan datang dengan membuat bayaran balik apa kita dah pinjam,” katanya.
Dalam hal ini, Mohd Izhar Ariff berkata inisiatif PTPTN memperkenalkan penstrukturan semula pinjaman bagi memudahkan pembayaran semula sepatutnya disambut baik peminjam.
“Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat pelbagai inisiatif untuk memastikan hutang anak-anak kita yang sedang belajar ataupun telah habis belajar dan berhutang dengan PTPTN dapat format semula ataupun dapat dijadual semula berdasarkan kemampuan mereka,” katanya.
Mohd Izhar Ariff berkata usaha membayar hutang pada waktunya membawa banyak manfaat dan keberkatan hidup sejajar sunnah Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan agar pembayaran hutang disegerakan.
“Keberkatan ini bukan sahaja dirasai diri sendiri, malah mengalir kepada anak-anak. Sekiranya hutang tidak dilangsaikan, waris termasuk anak-anak mungkin terbeban dengan tanggungjawab menyelesaikan baki hutang ditinggalkan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Eksekutif Pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Johor Bahru Syarah Sakinah Sudarma, 34, berkata tujuan utamanya melakukan penstrukturan semula pinjaman adalah bagi mendapatkan bayaran bulanan lebih rendah bersesuaian kedudukan kewangannya.
“Saya membuat penstrukturan semula awal tahun ini dan ia banyak membantu saya mengurus kewangan bulanan,” katanya yang membuat pinjaman PTPTN pada 2011 ketika melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia.
Menurutnya, manfaat paling ketara untuk penstrukturan semula itu ialah jumlah bayaran bulanan lebih rendah serta fleksibiliti dalam jadual pembayaran, malah turut memberinya ruang untuk merancang kewangan jangka panjang.
Baginya, pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah satu amanah dan tanggungjawab penting, bagi memastikan pinjaman sama dapat diguna semula untuk membantu pelajar lain melanjutkan pengajian mereka.
Untuk makluman, PTPTN menggalakkan para peminjam untuk berunding dan membuat penstrukturan semula pinjaman melalui pelan bayaran balik yang lebih fleksibel, mengikut kemampuan kewangan masing-masing, tanpa sebarang kos dikenakan.
Muat turun aplikasi myPTPTN untuk memudahkan urusan permohonan penstrukturan semula pinjaman serta mendapatkan maklumat dengan lebih pantas, mudah dan selamat. – Bernama