TANGKAK: Seorang perunding psikologi bebas mengalami kerugian RM261,640 selepas diperdaya tawaran wang kemenangan loteri dalam talian pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib menyatakan mangsa, wanita berusia 58 tahun, menerima tawaran tersebut melalui mesej WhatsApp yang didakwa daripada pihak tokong.
“Mangsa melakukan 20 transaksi wang ke akaun ‘keldai’ dari 31 Mei hingga Jumaat lepas,“ katanya.
Mangsa sedar ditipu selepas memaklumkan adiknya mengenai situasi tersebut pada Jumaat lalu sebelum membuat laporan polis semalam.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat, dan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihat berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran wang tunai loteri dalam talian,“ tegas Roslan. – Bernama