Seorang maut dalam kebakaran hutan di Madrid, Sepanyol

MADRID: Seorang lelaki maut dalam kejadian kebakaran hutan di pinggir bandar Tres Cantos, kira-kira 20 kilometer utara Madrid.

Mangsa diselamatkan namun meninggal dunia akibat melecur teruk di Hospital La Paz.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan Presiden Komuniti Autonomi Madrid Isabel Diaz Ayuso menyampaikan takziah di media sosial.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir di kawasan ladang berdekatan pada petang Isnin.

Angin kencang sehingga 70 km sejam menyebabkan api merebak pantas, memaksa kira-kira 200 penduduk dipindahkan.

Seorang lelaki gagal dipindahkan tepat pada masanya dan menjadi mangsa kebakaran tersebut.

Di Tarifa, selatan Sepanyol, kira-kira 2,000 orang dipindahkan akibat kebakaran hutan kedua dalam tempoh seminggu.

Di Zamora, 850 penduduk dipindahkan apabila kebakaran melanda Molezuelas de la Carballeda.

Di Castilla dan Leon, lebih 1,500 hektar musnah termasuk sebahagian Tapak Warisan Dunia UNESCO Las Medulas.

Peta kebakaran RTVE menunjukkan aktiviti kebakaran meluas di seluruh Sepanyol dengan kawasan aktif ditanda warna jingga dan merah.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), lebih 59,000 hektar tanah terbakar di Sepanyol setakat 2025.

Angka ini meningkat hampir 25 peratus dalam tempoh seminggu akibat gelombang haba berpanjangan.

Tiada hujan diramalkan dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di banyak wilayah.

Sepanyol sedang mengalami gelombang haba terpanjang sejak rekod bermula pada 1975. – Bernama, Xinhua

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *