ISKANDAR PUTERI: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, menyamai rekod legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 106 gol.
Beliau menjaringkan gol pada masa tambahan untuk membantu skuad Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 5-3 di Stadium Sultan Ibrahim.
Skuad pelawat memulakan aksi dengan garang apabila mengejutkan juara bertahan seawal minit kelapan menerusi Joseph Esso.
Gol itu disempurnakan selepas menerima hantaran Ameyaw Alexander Agyakwa.
Empat minit kemudian, Agyakwa sekali lagi menjadi pengumpan dengan sepakan percuma yang disambar Jovan Motika.
Gol itu meletakkan Negeri Sembilan di depan 2-0.
Tersentak dengan dua gol awal, JDT membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-29.
Langkah itu membuahkan hasil apabila sepakan sudut Arif Aiman pada minit ke-38 ditanduk masuk oleh Jon Irazabal.
Tiga minit berselang, Joao Figueiredo menyamakan kedudukan 2-2 dengan sepakan leret.
Gol itu menghidupkan semula semangat juara bertahan menjelang rehat.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak dan mendahului pada minit ke-57 menerusi jaringan kedua Irazabal.
Beliau menjaringkan gol selepas menerima hantaran Hector Hevel.
Belum sempat pelawat mengatur semula langkah, Arif Aiman melepaskan rembatan kencang seminit kemudian.
Gol itu melebarkan kedudukan 4-2.
Negeri Sembilan kembali merapatkan jurang pada minit ke-60 apabila Motika sekali lagi meledak gol.
Bergson memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah selepas melakukan sepakan gunting pada masa tambahan.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, import baharu Selangor FC, Kevin Deeromram, muncul wira dengan dua gol.
Beliau membantu Gergasi Merah membenam DPMM FC 3-0.
Deeromram membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-36.
Gol ketiga disumbangkan Chrigor Moraes pada minit ke-67 selepas menerima hantaran Quentin Cheng.
Sementara itu di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, jaringan penalti Ifedayo Olesegun pada minit ke-79 memastikan Kelantan The Real Warrior (KTRW) mengikat Imigresen FC 1-1.
Imigresen terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Eduardo Sosa pada minit ke-45. – Bernama