KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua ahli perniagaan disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu.
Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bernilai lebih RM3.6 juta terlibat dalam kes ini.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira 11 pagi tadi.
Mereka hadir di Pejabat SPRM Sabah bagi dirakam keterangan sebelum ditahan.
Siasatan awal mendapati kedua-duanya mengemukakan dua tuntutan palsu di bawah Program Bantuan IKS kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).
Tuntutan pertama melibatkan pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan bernilai lebih RM400,000.
Tuntutan kedua pula berkaitan perkhidmatan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), My Food serta sijil halal bernilai lebih RM3.2 juta.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada RM10,000 wang jaminan.
Mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini.
Di SELANGOR, SPRM negeri menahan seorang pengarah syarikat disyaki kemukakan dokumen palsu.
Kes ini melibatkan tuntutan perjalanan dan pembelian penyaman udara berjumlah RM33,000.
Wanita berusia 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.
Dokumen tuntutan perjalanan dan pembelian penyaman udara dikemukakan tanpa aktiviti tersebut dilaksanakan.
Timbalan Pengarah SPRM Selangor Khairul Izwan Karim mengesahkan penahanan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok. – Bernama