KUALA LUMPUR: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diibaratkan sebagai talian hayat bagi golongan berpendapatan rendah (B40), terutamanya ibu tunggal, peniaga kecil, dan pekerja sambilan.
Nor Azura Mat Desa, 45, seorang ibu tunggal yang berpendapatan sekitar RM1,200 sebulan, berkata bantuan STR akan digunakan untuk keperluan dapur dan anaknya yang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sejak kematian suami empat tahun lalu, bantuan kerajaan seperti STR sangat membantu dalam membesarkan empat orang anak,“ katanya.
Beliau turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan beban harian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran STR Fasa Tiga dengan peruntukan RM2 bilion bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah.
Seramai 8.6 juta penerima bakal mendapat bantuan sehingga RM650, meningkat berbanding 8.3 juta penerima pada fasa sebelumnya.
Siti Aisah Nordin, 37, ibu tunggal yang menjalankan perniagaan kecil, mengucapkan syukur atas kelulusan permohonan STR kali ini.
“STR sangat membantu untuk membeli keperluan dapur dan kelengkapan anak yang masih bersekolah,“ katanya.
Akmal Rizal, 23, penghantar makanan sambilan, berkata pendapatannya yang tidak menentu menjadikan STR sebagai bantuan penting untuk keluarganya.
“STR sedikit sebanyak meringankan beban dan menggembirakan keluarga,“ ujarnya.
Bantuan ini terus menjadi sokongan penting bagi golongan yang memerlukan dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. – Bernama