Bekas akauntan didakwa ubah wang haram RM216,478 di Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan sebuah syarikat pendidikan awal kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM216,478.

Rafidah Basar, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM162,000 daripada akaun CIMB Bank Berhad miliknya ke dalam satu lagi akaun Maybank Islamic Berhad juga milik tertuduh.

Wang tersebut didakwa dipindahkan setelah memperdayakan dan menipu seorang individu bahawa wang berkenaan adalah untuk pembayaran zakat bagi syarikat berkenaan.

Wanita itu turut berdepan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM54,478.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic dan CIMB bank miliknya setelah memperdayakan dan menipu individu sama bahawa wang berkenaan adalah untuk pembayaran zakat bagi syarikat serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB bank dan Maybank Islamic sekitar Shah Alam antara 30 Ogos 2023 hingga 4 Mac 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Denda minimum juga ditetapkan pada RM5 juta mengikut nilai yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya V. Manjira menawarkan jaminan RM60,000 bagi enam pertuduhan tersebut dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Iqmal Jamal yang mewakili Rafidah memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.

Beliau memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai pendapatan sekitar RM1,000 ke RM2,000 dengan membantu ibunya menjual kuih.

“Tertuduh juga mempunyai seorang kakak orang jurang upaya (OKU) yang berada di bawah jagaan dia dan ibunya,“ katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Syarat tambahan termasuk tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Oktober ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *