GENEVA: Sepanyol menghadapi musim kebakaran hutan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Lebih 39,000 hektar tanah telah musnah akibat kebakaran sejak awal tahun ini.
Kementerian Peralihan Ekologi Sepanyol melaporkan angka ini 9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun, ia masih 37 peratus lebih rendah daripada purata 10 tahun iaitu 62,235 hektar.
Daripada 4,735 kebakaran yang direkodkan, 14 daripadanya adalah kebakaran besar melebihi 500 hektar.
Kebanyakan kebakaran berlaku di barat laut negara, diikuti kawasan Mediterranean dan pedalaman.
Di Castilla dan Leon, 10 kebakaran aktif masih membakar, termasuk di Zamora yang musnahkan 3,500 hektar.
Di Leon, kebakaran di Yeres mengancam Las Medulas, tapak Warisan Dunia UNESCO.
Lebih 800 orang dipindahkan atau diarahkan berkurung akibat kebakaran di kawasan tersebut.
Di Tarifa, Cadiz, kira-kira 1,500 orang dipindahkan dan 5,000 kenderaan dialihkan dari tapak perkhemahan.
Di Extremadura, kebakaran di Las Hurdes musnahkan 3,000 hektar dan paksa 200 penduduk berpindah.
Pada bulan Julai sahaja, 26,000 hektar tanah dilaporkan terbakar di seluruh Sepanyol.
Gelombang haba melampau dengan suhu melebihi 40°C dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran.
Keadaan kering, angin kencang, dan kelembapan rendah memburukkan lagi risiko kebakaran.
Pihak berkuasa memberi amaran risiko kebakaran tinggi hingga melampau masih berterusan di banyak kawasan.
Kebakaran yang kelihatan terkawal boleh kembali marak jika keadaan cuaca bertambah buruk. – Bernama, Anadolu