KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga lima petugas media Al Jazeera yang terkorban dalam serangan Israel di Bandar Gaza.
Beliau menyatakan tragedi itu meragut nyawa Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal.
Mereka gugur semasa menjalankan tugas melaporkan keadaan sebenar di Gaza untuk mendedahkan penderitaan rakyat Palestin.
“Keberanian mereka membuktikan perjuangan menegakkan keadilan tidak akan padam walaupun nyawa menjadi taruhan,” katanya di Facebook.
Ahmad Zahid mengutuk keras serangan itu yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau menegaskan Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin di pentas global.
“Kami menuntut penghentian segera serangan terhadap wartawan dan petugas kemanusiaan,” tegasnya.
Pejabat Media Gaza melaporkan dua wartawan mereka antara mangsa serangan ke atas khemah berhampiran Hospital Al-Shifa.- Bernama