Eksport MSM kekal penting bantu Malaysia kuasai pasaran sawit

KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit mentah (MSM) kekal penting bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan syer pasaran kepada pesaing seperti Indonesia.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyatakan pasaran sedia ada seperti India, Kenya, dan Belanda bergantung pada bekalan MSM dari Malaysia.

“Eksport ke pasaran ini bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negara malah ianya strategik,“ menurut kenyataan KPK di portal Dewan Rakyat.

Malaysia mengeksport lebih banyak minyak sawit diproses (PPO) dan produk berasaskan sawit berbanding MSM.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan eksport minyak sawit negara pada 2024 berjumlah 15.39 juta tan metrik.

Daripada jumlah itu, eksport MSM hanya 3.69 juta tan metrik bernilai RM15.09 bilion.

Eksport minyak sawit diproses (PPO) pula mencecah 11.69 juta tan metrik dengan nilai RM50.73 bilion.

Ini bermakna hanya 24 peratus eksport minyak sawit Malaysia adalah MSM.

Produk berasaskan sawit mencatat eksport 14.80 juta tan metrik bernilai RM53.44 bilion pada 2024.

Prestasi eksport produk hiliran sawit menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Usaha mengurangkan kebergantungan terhadap eksport MSM terus menunjukkan hasil positif. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *