Ibu pengsan empat kali kehilangan anak, cucu dalam nahas

GUA MUSANG: Seorang ibu pengsan empat kali selepas menerima berita dua anak dan dua cucunya maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1, di sini hari ini.

Shahima Hamid, 54, jatuh pengsan tiga kali di rumah dan sekali lagi di hospital selepas selesai proses pengecaman mayat anaknya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dan Nor Aina Imra, 21, serta dua anak Muhammad Faiz, iaitu Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4.

Manakala isteri Muhammad Faiz, Tuan Norsyuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Seorang lagi anak Shahima, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, berkata lebih meruntun hati abang keduanya, Muhammad Faiz, merupakan antara anak yang paling rapat dengan ibunya.

“Adik saya, Nor Aina Imra pula anak kelima dan perempuan tunggal daripada lapan beradik. Dia merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan sedang cuti semester,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas selepas menghadiri program di Sepang, Selangor pada Sabtu lepas.

Jenazah keempat-empat mangsa itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang To’La, Pasir Mas malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo dalam kenyataannya berkata kejadian berlaku pada 9.15 pagi ketika kereta dinaiki mangsa dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan lori treler yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat, Insp Aida di talian 012-4027283 – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *