ISTANBUL: Saluran berita Al Jazeera menyifatkan pembunuhan wartawannya secara sengaja oleh Israel di Semenanjung Gaza sebagai “cubaan terdesak untuk menyekat suara sebelum pencerobohan Gaza.”
Menurut Anadolu Ajansi (AA), saluran berpangkalan di Qatar itu mengeluarkan kenyataan susulan tindakan Israel menyasarkan secara langsung sebuah khemah wartawan berhampiran Hospital Al-Shifa di Bandaraya Gaza yang mengakibatkan kematian lima wartawan, termasuk wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif dan Mohamed Qraiqea.
“Tanggungjawab serangan ini terletak sepenuhnya pada tentera dan kerajaan Israel,” kata Al Jazeera.
Al Jazeera menegaskan bahawa ramai pegawai Israel berulang kali menghasut dan menggesa supaya Al-Sharif serta rakan-rakannya disasarkan.
“Anas Al-Sharif adalah antara wartawan paling berani yang mendokumentasikan kebuluran yang dikenakan oleh tentera pendudukan Israel terhadap rakyat Gaza. Menyekat suara sebagai sebahagian daripada rancangan pencerobohan Gaza adalah satu percubaan terdesak,” tambahnya.
Saluran berita itu menekankan bahawa pembunuhan itu berlaku di tengah-tengah kempen genosid Israel yang berlarutan selama 22 bulan dan sejurus selepas kerajaan Israel mengumumkan rancangan untuk menduduki Gaza.
Al Jazeera turut menyatakan bahawa Israel mengakui serangan itu adalah “perbuatan yang disengajakan dan keji yang menyasarkan secara langsung khemah wartawan.”
Menyifatkannya sebagai serangan baharu yang terang-terangan dan terancang terhadap kebebasan media, Al Jazeera menyatakan: “Matlamatnya adalah untuk menghalang suara terakhir yang tinggal di Gaza daripada berkongsi tragedi sebenar dengan dunia.”
“Menyatakan kebenaran telah menjadi satu ancaman pada pandangan Israel,” katanya.
Saluran berita itu menegaskan bahawa alasan dan dakwaan tentera Israel adalah palsu dan bertujuan menutup jenayah mereka.
Ia turut menolak tuduhan Israel bahawa Al-Sharif adalah “ketua sel Hamas” dan terlibat dalam merancang serangan roket ke atas Israel.
Al Jazeera menegaskan bahawa Al-Sharif sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan politik dan hanyalah seorang wartawan yang komited melaporkan kebenaran secara objektif.
Sambil mengecam ancaman dan tindakan menyasarkan wartawan oleh Israel, saluran itu berkata: “Menyatakan kebenaran telah menjadi satu ancaman pada pandangan Israel, khususnya di Gaza, di mana penduduknya sedang berjuang menentang kebuluran.”
Ia memberi amaran bahawa jenayah Israel yang tidak dihukum hanya menggalakkan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai oleh pasukan pendudukan Israel dan menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa mesti bertindak – BERNAMA-Anadolu