SEPANG: Seorang pemandu lori dan kelindannya ditahan bersama rokok yang disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta.
Operasi itu dijalankan di Plaza Tol MEX, Lebuhraya KL-Putrajaya, Cyberjaya pada 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 35 dan 38 tahun itu ditahan pukul 2.30 petang.
Mereka sedang memandu lori bonded jenis Hino ketika ditahan.
Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui pelbagai jenis rokok haram.
Sebanyak 566 master case rokok tanpa cukai kastam berjaya dirampas.
Setiap master case mengandungi 50 karton rokok pelbagai jenama.
Selain rokok, polis turut merampas sebuah lori Hino, anak kunci, dua telefon bimbit, dan empat helai kertas arahan penyerahan.
Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah sebelum ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Hukuman boleh mencecah denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara maksimum lima tahun.
Suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 7 Ogos.
Sebutan semula kes dijadualkan pada 9 September – Bernama