Johor perkenal loji bekalan air pulih guna skala besar pertama bagi pusat data

JOHOR BAHRU: Johor mencipta sejarah menerusi pembinaan loji bekalan air pulih guna berskala besar pertama yang dikhaskan bagi operasi pusat data di Ulu Tiram di sini.

Presiden Bridge Data Centres (BDC) Eric Fan berkata projek yang bermula kira-kira 10 bulan lepas merangkumi sistem talian paip penuh untuk membawa air sisa perbandaran terus ke kemudahan rawatan mereka.

“Kami mempunyai semua sistem talian paip yang membawa air sisa daripada perbandaran ke loji rawatan kami. Kami merawat air sehingga menjadi air tulen berkualiti tinggi untuk digunakan di pusat data kami.

“Secara keseluruhannya ini satu projek demo untuk membantu kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor menangani isu kekangan air dalam industri. Saya berpendapat ia menjadi penanda aras kepada sektor pusat data.

“Saya yakin ini adalah yang pertama di Malaysia, dan setakat ini tiada pihak lain yang telah membina loji bekalan air pulih guna sebesar ini untuk kegunaan pusat data. Ia dibina khusus untuk proses penyejukan pusat data,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melawat loji bekalan air pulih guna di Desa Cemerlang, Ulu Tiram yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata kemudahan berkenaan menjadi penanda aras bagi sektor pusat data di Malaysia, memandangkan ia adalah loji bekalan air pulih guna berskala besar yang pertama di negara ini yang dibina khas bagi penyejukan pusat data.

“Apa yang anda lihat hanya loji, tetapi ada juga pembinaan talian paip yang menghubungkan terus ke Loji Rawatan Kumbahan Pelangi Indah. Projek ini telah beroperasi dan kini berada pada peringkat akhir ujian dan pengoperasian,“ katanya.

Fan berkata inisiatif ini menggalakkan kelestarian dengan menggunakan efluen terawat yang sepatutnya dilepaskan kepada alam sekitar, dan bukannya mengambil air daripada sungai.

Melalui projek ini, sebanyak empat juta liter sehari efluen terawat daripada Loji Rawatan Kumbahan JB-Pelangi (JBR005) Indah Water Konsortium akan dibekalkan ke loji bekalan air pulih guna BDC.

Johor Special Water Sdn Bhd akan menyelia penghantaran efluen terawat dan menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan.

Air yang telah dirawat semula ini akan digunakan dalam operasi penyejukan BDC- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *