KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa kebangsaan dalam karya seni seperti puisi, sajak, dan lirik lagu terus memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi seni bermula sejak sebelum kemerdekaan.
“Hasil seni hari ini lebih menjurus kepada pengisian makna kemerdekaan dengan membincangkan isu-isu negara merdeka,” katanya.
Beliau menambah bahawa karya terdahulu lebih fokus kepada perjuangan membebaskan tanah air daripada penjajah.
“Kita lihat bagaimana lagu Malaysia MADANI nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mampu menyemarakkan semangat perpaduan,” ujarnya dalam program Apa Khabar Malaysia.
Hazami turut menyebut karya seperti Putera Gunung Tahan dan Jiwa Hamba sebagai contoh seni sebagai wadah perjuangan menentang penjajahan.
“Karya seni itu adalah usaha berterusan dalam melahirkan generasi yang mencintai tanah air,” jelasnya.
Beliau juga menyeru supaya penggunaan bahasa kebangsaan diperkukuh dalam pelbagai medium termasuk pengiklanan dan penjenamaan.
“Penggunaan bahasa kebangsaan secara menyeluruh mencerminkan identiti sesebuah negara,” tegas Hazami.
Beliau menekankan bahawa media memainkan peranan penting dalam menyerlahkan keindahan bahasa kebangsaan – Bernama