KOTA BHARU: Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta komuniti MADANI di seluruh negara diseru memainkan peranan lebih proaktif dalam menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan Muhd Aswadi Md Nor berkata penglibatan aktif agensi kerajaan dan komuniti MADANI ialah kunci dalam memastikan mesej cintakan negara dapat disampaikan secara meluas kepada rakyat.
“Sebagai institusi yang dekat dengan masyarakat, agensi kerajaan serta rukun tetangga perlu menjadi contoh kepada penduduk setempat seperti menghias Jalur Gemilang di bangunan atau kawasan rumah masing-masing sebagai manifestasi semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
“Tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang ini perlu digalas dan digerakkan secara bersama oleh seluruh lapisan masyarakat,“ katanya kepada Bernama selepas pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Politeknik Kota Bharu hari ini, yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.
KMJG 2025 di Kelantan yang berlangsung selama dua hari sejak semalam, bermula di Kolej Komuniti Jeli seterusnya Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu dan berakhir di Machang sebelum diserahkan kepada konvoi KMJG Terengganu.
KMJG 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, selaras dengan gagasan kepimpinan negara berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan. – Bernama