KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fadil Marsus dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Fadil mengambil alih tugas Datuk Rusdi Mohd Isa yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Jawatan itu sebelum ini dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sejak 18 Julai lepas.
Rusdi berkata pelantikan Fadil adalah satu amanah dan kepercayaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia terhadap kredibiliti serta daya kepimpinan beliau.
“Justeru, berikanlah perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan amanah dan jangan sesekali mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Fadil akan disokong oleh kerjasama erat warga kerja Kontinjen Kuala Lumpur.
“Saya percaya, melalui kepimpinan yang bakal dibawa, disokong dengan kerjasama yang tidak berbelah bahagi oleh warga kerja Kontinjen Kuala Lumpur, usaha serta matlamat untuk mengekalkan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan di negeri ini akan sentiasa terlaksana,” ujarnya dalam majlis serah terima tugas di Dewan Sri Satria, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Sementara itu, Fadil menyatakan komitmennya untuk memanfaatkan pengalaman dalam JSJ bagi menangani cabaran keselamatan di ibu kota.
“Saya bersama timbalan dan semua warga Polis Kuala Lumpur akan ‘all out’ untuk pencapaian visi dan misi PDRM dan akan laksanakan sebaik mungkin, dengan mengoptimumkan semua sumber ke arah pencapaian positif,” jelasnya.
Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh lagi usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan di Kuala Lumpur. – Bernama