Malaysia gesa negara pemilik senjata nuklear tandatangani Protokol SEANWFZ

JOHOR BAHRU: Malaysia menggesa negara pemilik senjata nuklear supaya segera menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa langkah ini penting bagi mengekalkan keamanan, kepercayaan bersama dan keselamatan serantau.

Beliau berkata zon bebas senjata nuklear yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan adalah kunci kepada kestabilan serta perlindungan masa depan rantau ini.

“Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian SEANWFZ. Kami menggesa negara pemilik senjata nuklear supaya menandatangani dan meratifikasi Protokol tersebut tanpa berlengah,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM).

Fadillah turut menyentuh mengenai potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan stabil dalam campuran tenaga negara.

Kerajaan sedang menjalankan penilaian berstruktur selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 untuk menilai peranan tenaga nuklear dalam mempelbagaikan sumber tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO), MyPOWER Corporation, telah diberi tanggungjawab menyelaras usaha persediaan berdasarkan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Fadillah turut mengumumkan pelancaran Sistem Pemantauan Air Spektrometri Gamma (GSWMS) bagi meningkatkan keupayaan negara mengesan ancaman radiologi dalam sumber air.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan tenaga nuklear memerlukan kerangka peraturan yang kukuh, protokol keselamatan ketat dan kerjasama antarabangsa yang telus.

“Kerjasama di bawah ASEANTOM bersifat strategik dan mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memastikan tenaga atom digunakan bagi pembangunan mampan,” katanya.

Mesyuarat dua hari itu menghimpunkan pengawal selia ASEAN, IAEA dan rakan dialog untuk membincangkan isu keselamatan nuklear serantau. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *