Lebih 1,000 PATI ditahan di Kelantan dalam operasi imigresen

GUA MUSANG: Seramai 1,103 pendatang tanpa izin (PATI) telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam 315 operasi penguatkuasaan dari Januari hingga kini.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata tangkapan itu dibuat selepas pemeriksaan terhadap 2,358 individu, termasuk 50 majikan yang disyaki terlibat.

“Dalam Op Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ malam tadi, kami berjaya menahan 37 PATI terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita.

“Mereka berusia antara 16 hingga 58 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Thailand, India, dan Myanmar,” katanya di Stesen Penguat Kuasa JPJ Mentara.

Beliau menjelaskan kesalahan utama termasuk memiliki dokumen palsu, melebihi tempoh visa, dan tiada permit sah.

Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c).

“Risikan dijalankan selama tiga minggu bagi membongkar jaringan PATI yang menggunakan bas untuk mengelak pengesanan.

“Kerjasama JPJ amat membantu kelancaran operasi ini,” tambahnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *