KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan kawasan tanaman koko di Malaysia berkembang kepada 10,000 hektar menjelang 2030 berbanding 5,985 hektar pada masa ini.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan merupakan inisiatif strategik KPK dan Lembaga Koko Malaysia untuk merangsang pengembangan tanaman koko.
“Esok misalnya, saya akan menyertai Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Tawau,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai usaha KPK menggalakkan penanaman koko di Sabah.
Menurut data 2024, harga purata biji koko kering meningkat 141% kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.
Chan turut menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai dasar KPK dalam mengeluarkan produk berasaskan koko seperti coklat.
“Kementerian telah mempromosikan produk premium koko tempatan sebagai koko asal tunggal dan berperisa unik,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pendekatan ini membantu pengusaha koko menonjolkan keunikan rasa untuk menarik minat pembuat coklat domestik dan antarabangsa.
KPK dan Lembaga Koko Malaysia turut menyediakan pelbagai bantuan seperti baja, racun perosak, dan kawalan penyakit bagi meminimumkan kerugian hasil tanaman. – Bernama