KUALA LUMPUR: Isu semakan semula kadar bantuan per kapita (PCG) yang kekal tidak berubah sejak 2002 menjadi antara topik utama perbincangan di Dewan Rakyat hari ini.
Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan akan menaikkan kadar PCG memandangkan nilai sedia ada tidak lagi mencukupi untuk kos operasi sekolah terutamanya di kawasan luar bandar.
Perkembangan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) turut dibangkitkan oleh Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin mengetahui sumbangan NAIO dalam pembangunan AI di Malaysia.
Beliau juga menanyakan langkah kerjasama antara kementerian bagi memastikan koordinasi efektif dalam pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) pula mengemukakan soalan berkenaan rasional penggubalan akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993.
Persidangan turut membincangkan status pelaksanaan Program MySTI melalui soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selepas sesi soal jawab, perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan diteruskan dengan fokus kepada pelaburan RM611 bilion untuk tempoh 2026 hingga 2030.
RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’.
Sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka berlangsung sehingga 28 Ogos dengan penyertaan 78 Ahli Parlimen setakat ini. – Bernama