KUALA KUBU BHARU: Industri pertanian negara perlu diperkukuh melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan langkah itu penting untuk memastikan keterjaminan makanan termasuk sektor tenusu domestik.
Beliau berkata Majlis TVET Negara sedia bekerjasama dengan institusi latihan pertanian seluruh negara bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Modul tersedia selama ini baik tetapi pada hemat saya, penggunaan Internet benda (IoT) dan pedagogi pengajaran untuk mereka (TVET) ini penting,” katanya.
Ahmad Zahid menyarankan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas manakala 70 peratus mesti berada di lapangan bagi memberikan pendedahan praktikal.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS “Ehsan Dairy Farm” di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Ahmad Zahid mencadangkan gaji premium ditawarkan kepada graduan TVET dalam bidang pertanian bagi menarik minat generasi muda.
Graduan TVET pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga layak menerima gaji minimum RM3,000 manakala pemegang SKM Tahap Lima berpeluang mendapat hingga RM5,000 sebulan.
“SKM Tahap Lima setaraf dengan diploma, lazimnya daripada permintaan pasaran atau kebolehgajian cukup tinggi,” jelasnya.
Mengenai Ehsan Dairy Farm, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai pencetus perubahan dalam meningkatkan pengeluaran tenusu tempatan.
Projek itu dijangka beroperasi pada awal 2026 dan akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka tinggi dari Australia.
“Kita mengimport kira-kira 94.7 peratus keperluan tenusu negara bernilai RM4.6 juta setahun,” katanya.
Beliau menyokong usaha PKPS bagi mengurangkan kebergantungan import tenusu secara signifikan pada masa depan. – Bernama