SEREMBAN: Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai sedang melintas jalan dari lorong kecemasan maut akibat dilanggar sebuah kereta di KM238.4 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Ayer Keroh-Senawang di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau DSP Azmi Ali berkata kejadian berlaku pada 8.18 pagi dan mangsa yang merupakan kelindan lori berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian badan serta kepala.
“Mangsa dipercayai telah melintas dari lorong kecemasan untuk ke lorong sebelah kanan sebelum dilanggar kereta jenis Mercedes-Benz dipandu lelaki berusia 56 tahun.
“Sebelum itu, lori dinaiki mangsa telah berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pancit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.
Kemalangan itu, katanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama