KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan membunuh anak angkat perempuannya yang berusia tujuh bulan.
Siti Subrina Imran, 37 tahun, mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh bayi tersebut di sebuah kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras pada 7 pagi, 30 Julai lepas.
Kes ini dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Menurut laporan media, pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan menyatakan bayi itu ditemui dalam keadaan kebiruan dan tidak sedarkan diri.
Tubuh bayi itu juga dilaporkan penuh lebam ketika ditemui di kondominium tersebut. – Bernama