Koperal polis didakwa pandu bahaya sebabkan kematian remaja

GURUN: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki.

Azhar Mat Saini, 52, didakwa memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, iaitu penunggang motosikal, di lampu isyarat pekan Guar Chempedak pada 9 malam, 28 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya manakala Azhar diwakili peguam S. Parameswaran.

Majistret Anis Suraya Ahmad membenarkan Azhar yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Sept depan untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian itu, Muhammad Nur Iman Danial parah selepas motosikalnya dilanggar kereta Perodua Axia dipandu anggota polis terbabit yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Pelajar Tingkatan Empat itu meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada malam Khamis lepas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *