KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyantuni tujuh mangsa kebakaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras. Kejadian berlaku pada Sabtu lepas.
Dr Wan Azizah, yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras, dan Baitulmal.
“Kebanyakan mangsa adalah penyewa, manakala hanya seorang pemilik rumah. Kami sudah merancang cara untuk meringankan beban mereka. Penyewa akan diberikan rumah transit sementara kediaman mereka diperbaiki, sebelum mereka kembali semula ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hos pemadam kebakaran di lokasi kejadian hilang, menyebabkan operasi memadam api mengambil masa lebih lama.
Seorang mangsa, Nurhasyimah Mohd Hairizam, 23, berkata dia dan suaminya bersyukur menerima bantuan tersebut bagi membeli perabot baharu selepas rumahnya rosak teruk.
“Rumah hangus sepenuhnya. Katil pun dah tak boleh guna. Saya bersyukur sebab dimaklumkan akan diberikan rumah transit untuk duduk sementara menunggu rumah siap dibaiki,” katanya.
Kebakaran di PPR Desa Tun Razak melibatkan kediaman di tingkat 13 hingga 17, membabitkan tujuh keluarga dengan 25 mangsa. – Bernama