KPDN bongkar kegiatan pindah LPG haram di Batu Gajah

BATU GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan haram di Kawasan Perindustrian Bemban semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang hasil intipan dan pemantauan selama seminggu. Sebanyak 1,899 tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) disita dalam serbuan tersebut.

“Pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, dan lima pekerja warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun turut ditahan untuk siasatan,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi di lokasi hari ini.

Menurut Kamalludin, tong-tong LPG itu disyaki digunakan dalam aktiviti decanting, iaitu memindahkan LPG bersubsidi ke tangki lain. Daripada jumlah tong yang disita, 871 tong berisi LPG manakala 1,028 tong lagi kosong.

“Kami juga merampas 18,194 kg LPG dalam tangki dengan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM66,508,“ jelasnya.

Siasatan mendapati sindiket ini membeli LPG bersubsidi dari pelbagai negeri sebelum memindahkannya ke tangki untuk dijual kepada pihak industri pada harga komersial.

“LPG bersubsidi dijual pada RM1.90 sekilogram, manakala harga pasaran ialah RM5 sekilogram. Perbezaan harga ini dimanfaatkan oleh sindiket untuk mendapat keuntungan haram,“ ujarnya.

Premis terbabit didapati beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *