KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di fasa akhir pencalonan untuk mengisi kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO, dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada Persidangan Agung badan dunia itu di Paris pada November ini. Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan persediaan telah dijalankan hampir setahun dengan pendekatan konsisten memandangkan proses ini memerlukan keyakinan dan sokongan negara anggota.
“Beberapa siri kempen pusingan awal telah berlangsung, dan kini kita memasuki peringkat akhir. Insya-Allah, November ini kita akan menyelesaikan tugas akhir sebelum keputusan diumumkan,“ kata Fadhlina dalam Majlis Cicipan Kebaya anjuran Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).
Beliau, yang juga Presiden SKUM, menjelaskan majlis tersebut sebahagian daripada kempen Malaysia untuk mendapatkan kerusi tersebut, selain meraikan pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Tidak Ketara UNESCO pada Disember lalu.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan, Fadzilah Fadzil, berkata antara usaha promosi lain termasuk lawatan rasmi ke Kilim Geoforest Park di Langkawi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN.
“Kilim ialah geopark pertama Malaysia yang diiktiraf UNESCO. Lawatan ini menjadi platform untuk tunjukkan komitmen kita dalam pemuliharaan alam sekitar, seperti pemuliharaan paya bakau,“ katanya.
Kempen pencalonan turut dijalankan melalui Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, dengan lima resepsi diadakan melibatkan wakil dari Afrika, Eropah, dan Amerika.
“Kita terangkan visi Malaysia dan sumbangan dalam agenda global UNESCO, terutamanya dalam pendidikan, warisan, dan kelestarian,“ tambah Fadzilah. – Bernama