E-sukan antara empat sukan tambahan baharu SUKMA 2026 di Selangor

SHAH ALAM: E-sukan, catur, kriket, dan kabadi disahkan sebagai empat sukan tambahan baharu yang akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor. Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Empat sukan ini diluluskan sebagai tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan sukan yang dipertandingkan sebanyak 34 jenis. Sukan tinju dan sofbol pula dipilih sebagai sukan wajib,“ kata Yeoh dalam sidang media selepas mesyuarat.

Beliau menegaskan keputusan ini muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan acara akan dipertimbangkan. Ini bagi memastikan penganjur mempunyai masa yang mencukupi untuk persiapan menjelang temasya yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.

Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen Brunei dalam SUKMA 2026. Walau bagaimanapun, jenis dan jumlah sukan yang akan disertai negara itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata beberapa pendekatan baru akan dilaksanakan bagi menangani isu kekurangan penyertaan atlet dan pegawai teknikal wanita dalam SUKMA 2024 di Sarawak.

“Setiap acara terbuka akan mewajibkan penyertaan atlet berbeza jantina. Bagi sukan Olimpik, walaupun penyertaan wanita tidak mencapai minimum enam negeri, acara tetap akan berlangsung,“ jelasnya.

Bermula SUKMA 2026, setiap kontinjen negeri juga perlu melantik sekurang-kurangnya seorang ketua atau timbalan ketua kontinjen wanita. Selain itu, kuota 20 peratus pegawai sokongan wanita akan diperkenalkan untuk urus setia dan perubatan.

“SUKMA Selangor akan menyaksikan sekurang-kurangnya 30 peratus sukarelawan dan 20 peratus pegawai teknikal wanita. Penganjuran kali ini lebih inklusif,“ tambah Yeoh.

Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri juga bersetuju bahawa penyertaan negeri ke Sukan Para SUKMA akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri mulai 2026, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *