Malaysia tegaskan rujukan Blok ND6 ND7 sebagai Laut Sulawesi bukan Ambalat

PUTRAJAYA: Malaysia secara rasmi merujuk kawasan maritim yang meliputi Blok ND6 dan ND7 dalam Peta Baharu Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi, bukan istilah “Ambalat” yang digunakan Indonesia, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

Kenyataan itu menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan telah mengukuhkan lagi hak Malaysia ke atas kawasan tersebut.

“Menteri Luar menegaskan bahawa penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan,“ menurut Wisma Putra.

Perkara itu turut dijelaskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang Dewan Rakyat pada 5 Ogos.

Mengenai kemungkinan kerjasama pembangunan bersama dengan Indonesia di Laut Sulawesi, Wisma Putra menyatakan bahawa perbincangan masih di peringkat awal.

“Setakat ini, tiada sebarang persetujuan telah dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,“ menurut kenyataan itu.

Malaysia kekal berpegang kepada prinsip melindungi kedaulatan dan haknya selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

“Sebarang perbincangan berhubung perkara ini dilaksanakan melalui mekanisma diplomatik, berasaskan perundangan dan teknikal yang ditetapkan di bawah rangka kerja dua hala sedia ada,“ tambah kementerian itu.

Wisma Putra juga menekankan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Sabah, demi memastikan kepentingan negara terpelihara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *