KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum bersedia melaksanakan Perintah Kekayaan Tidak Dapat Dijelaskan (UWO) meskipun menerima cadangan untuk diperkenalkan. Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang pelaksanaan.
“Kita akan mengkaji idea-idea yang bernas sebelum pelaksanaan dan saya terima cadangan untuk melihatnya, dan kita akan mengkaji terlebih dahulu dan memahami isu-isu (berkaitan) kerana kita tidak mahu kesan yang tidak diingini,“ katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025.
Cadangan UWO sebelum ini dikemukakan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang menegaskan keperluan Malaysia memiliki mekanisme untuk memastikan golongan elit bertanggungjawab terhadap sumber kekayaan mereka.
Selain itu, kerajaan juga sedang meneliti cadangan pembayaran pencen bulanan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan sistem saraan negara. Amir Hamzah menekankan perlunya kajian menyeluruh bagi memastikan kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal.
“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila seseorang mendapat akses penuh, ramai yang cepat menghabiskan wang itu. Jadi, apabila mereka sampai ke usia tua, mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi,“ jelasnya.
Beliau menambah bahawa inisiatif pencen bulanan ini akan dikhususkan untuk ahli baharu KWSP, bukan mereka yang sudah berada dalam sistem. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut menyatakan kerajaan akan meneroka mekanisme baharu untuk menjamin pendapatan berterusan selepas bersara. – Bernama