KUALA LUMPUR: Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada kadar penanaman semula rendah pada 2024, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, kenaikan tersebut telah mendorong syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit untuk mengekalkan pokok sawit sedia ada bagi memperoleh pendapatan jangka pendek.
“Harga BTS merupakan antara faktor penting yang dipertimbangkan oleh syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit dalam membuat keputusan untuk melaksanakan aktiviti penanaman semula sawit atau sebaliknya.
“Hal ini kerana mereka masih memperoleh pendapatan hasil jualan BTS walaupun pengeluaran BTS di paras yang sangat rendah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Johari, harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 telah meningkat kepada RM4,179.50 satu tan berbanding RM3,809.50 satu tan pada 2023, sekali gus mendorong kenaikan harga purata BTS kepada RM875 satu tan berbanding RM778 satu tan pada tahun sebelumnya.
“Walaupun syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit memperoleh pendapatan hasil jualan BTS daripada pokok sawit tua dan tidak lagi produktif, produktiviti BTS secara keseluruhannya masih rendah dan ini menjejaskan pendapatan dan modal syarikat.
“Kekangan modal ini menyebabkan penangguhan penanaman semula sawit,” katanya.
Faktor lain yang dikenal pasti termasuk usia pekebun kecil yang semakin lanjut dan kurangnya minat generasi muda untuk meneruskan usaha penanaman semula.
“Pokok sawit tua yang kurang produktif berisiko mengehadkan keupayaan maksimum ladang, baik bagi syarikat perladangan mahupun pekebun kecil,” jelas Johari.
Beliau menekankan bahawa penanaman semula harus dilihat sebagai pelaburan strategik untuk memastikan produktiviti jangka panjang dan pendapatan yang lebih stabil. – Bernama